Saingan Liga Super China (CSL) musim 2020 akhirnya akan membuka tirai pada 25 Julai ini selepas ditangguhkan selama 5 bulan akibat penularan wabak pandemik COVID-19.

Kelab Wuhan Zall, bandar yang menjadi tempat lahirnya wabak tersebut akan beraksi dalam perlawanan pembukaan menentang Qingdao Huanghai.

Semasa wabak itu merebak, Wuhan Zall menjadi sebutan para peminat bola sepak asia apabila dikuarantin di Sepanyol selama dua bulan ketika latihan pra musim di sana sehingga terpaksa berjauhan daripada keluarga di China.

Persatuan Bola Sepak China (CFA) telah pun mengeluarkan jadual rasmi perlawanan CSL yang akan berakhir pada 29 September 2020. 112 perlawanan akan berlangsung melibatkan 16 pasukan.

16 pasukan ini dibahagikan kepada dua kumpulan dimana mereka akan beraksi di venue yang berasingan secara tertutup di bandar Suzhou dan Dalian.

Bagaimanapun, jadual untuk pusingan kedua masih belum dikeluarkan kerana mereka perlu mengambil kira beberapa faktor.

Pasukan ini akan beraksi dalam format ’round robin’, 4 pasukan teratas akan layak ke peringkat ‘Championship’ manakala 4 pasukan tercorot akan beraksi di peringkat penyingkiran liga.

Agensi media dari China, Xinhua turut melaporkan 1,870 orang pemain sudah pun menjalani ujian saringan dan mereka semua didapati negatif COVID-19. Ia sekaligus memberi kebenaran rasmi kepada CSL untuk memulakan perlawanan pertama.

Malah, CSL juga menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat iaitu setiap pemain wajib melakukan ujian saringan setiap minggu dan perlu berada di kawasan hotel tanpa ke tempat lain kecuali untuk tujuan menjalani sesi latihan.

Mana-mana pasukan yang didapati melanggar peraturan ketat itu berisiko disingkirkan daripada liga dan para pegawai pasukan akan diberi amaran keras.

“Peraturan kami sangat ketat dan sesiapa yang melanggar peraturan ini akan disingkirkan daripada liga musim ini.

“Semua pasukan dan pemain tidak boleh mengharapkan hanya didenda atau digantung atas pelanggaran mereka,” kata Pegawai CSL, Qi Jun dipetik dalam South China Morning Post

Presiden CFA, Cheng Xuyuan menjelaskan peraturan yang ketat itu terpaksa dilaksanakan bagi membendung penularan wabak COVID-19 dan memastikan tiada mana-mana pemain atau pegawai dijangkiti wabak tersebut.

“Kami telah berbincang lama mengenai peraturan ini untuk menjaminkan tiada kes baharu COVID-19 dicatatkan yang melibatkan pemain CSL. Kita akan mengambil langkah berjaga-jaga setiap masa,” katanya.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

RASMI: UAE Perkenalkan Ketua Jurulatih Baharu, Jorge Luis Pinto ‘Hadap’ Malaysia Dalam Perlawanan Kompetitif Pertama

Shin Tae-yong Panggil Ilija Spasojevic Perkuatkan Jentera Serangan Indonesia Dalam Kelayakan Piala Dunia 2022

2019/2020 Musim Gemilang Takumi Minamino, Raih Dua Kejuaraan Liga Domestik